Wednesday, October 10, 2007

KISAH SLURPEE DI DALAM BAS MINI WILAYAH

AMARAN : CERITA INI MENGANDUNGI UNSUR KEGELIAN MELAMPAU !!!

Ini adalah satu urban legend yang sangat keji.

Kenapa ia di-post-kan di sini? Sebab perawi cerita ini adalah Sdr Aiwa. Ia juga kerap diulang-ulang dan acap juga dilakonkan oleh Ja, Sheppe dan beberapa orang lagi ahli Class of '94.

Hakcipta legenda ini tidak diketahui.

KISAH SLURPEE DI DALAM BAS MINI WILAYAH

Cerita ini berlaku di K.L. tapi ia juga mungkin berlaku di mana-mana bandar di Malaysia yang ada pengangkutan awam.

Konon ceritanya, suatu hari, Jiman (bukan nama sebenar) telah menaiki bas mini wilayah. Bas cukup padat. Penumpang ramai. Jiman sendiri pun tak dapat nak duduk. Dalam keadaan bersesak itu pun, pemandu bas masih lagi berhenti ambil penumpang .Konduktor bas sibuk menyuruh penumpang bas berganjak ke belakang. Dalam bersesak itu, Jiman sempat mengomel kecil.

Jiman memang tak sihat hari ini. Dah tiga hari berturut-turut dia batuk. Batuknya berkahak. Cuaca panas dan berdebu hari ini langsung tak membantu. Dah berapa kali dia membuang kahak semasa menunggu bas tadi.

Tiba-tiba tekaknya keringsaan. Jiman cuba tahan. Makin lama, makin gatal. Macam mana ni? Takkan nak diludah keluar tingkap. Gatal kerongkongnya tak dapat ditahan-tahan. Bagai ada beruk tolong menggaru. Ahhhhh, dalam keterpaksaan, Jiman lantas buang kahaknya dalam tadahan tangannya. Lega sedikit. Kahaknya ditadah cermat.

Tiga minit berlalu, tekak Jiman buat hal lagi. Ahhhhh, proses sama Jiman ulang. Lega.

Tekaknya buat hal lagi. Kali ini tak sampai 2 minit selangnya. Jiman ulang lagi proses sama. Jiman mula risau. Jauh lagi nak sampai ni, telah Jiman.

Begitulah keadaan Jiman. Proses membuang kahak diulang-ulang. Hasilnya Jiman kini menadah penuh kahaknya yang kuning hijau dalam takungan tangannya. Bergenang-genang kahak Jiman. HIJAU!!!! PEKAT!!! Pemandu bas pula loqlaq, pandu bas macam sesungkur. Jenuh Jiman imbang badan.

Bas makin hampir ke destinasi Jiman. Macam mana nak tekan loceng ni? Dua-dua tangan penuh. Sudah. Takkan nak suruh orang? Kalau nak suruh pun nak suruh macam mana? Nak panggil tak kenal. Nak cuit, tangan penuh kahak.

Jiman makin cemas. Simpang ke rumah Jiman dah nampak. Kalau terlepas simpang ni, alamat menapak la Jiman. Bukan dekat, jauh tu. Jiman tiada pilihan, tak pelah, kahak aku jugak - kata Jiman. Dan Jiman pun angkat tadahan tu, bawa ke mulut beliau dan...SLURPPPPPPPPPPPPPPPPPPPP...satu hirup je, selesai...

[Biasanya perawi cerita ini akan timing klimaks cerita ni dengan time makan, waktu pendengar-pendengar tengah menyuap - Ed.]


No comments: